KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor Bahru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 pertuduhan melibatkan aktiviti pasaran modal tanpa lesen dan mengemukakan representasi palsu berhubung pembelian skim pelaburan bon berjumlah RM3.16 juta, lima tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Razrul Anwar Rosli, 45, yang juga ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.
Mengikut pertuduhan, Razrul didakwa menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan dia bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal dan berdaftar bagi aktiviti berniaga dalam sekuriti di sebuah rumah di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah subsekyen 58(4) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Ahli perniagaan itu juga berdepan lapan pertuduhan menipu lima individu dengan memindahkan wang milik mereka berjumlah RM3.16 juta ke empat akaun bank iaitu Wakala Ventures, AML Global, EMD Media Digital dan AMT Global Business di Maybank Islamic Berhad dan Malayan Banking Berhad bagi tujuan skim pelaburan bon patuh syariah yang dikenali sebagai Amal Trust yang mana representasi tersebut adalah palsu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan empat lokasi iaitu di Jalan Raja Muda Abd Aziz, Bandar Puchong Jaya, Pandan Indah dan Jalan Jelutong, Pulau Pinang antara Januari 2020 dan April 2021.
Perbuatan itu didakwa mengikut Subseksyen 179(b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) yang boleh dihukum di bawah seskyen 182 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda RM1 juta, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Razrul juga didakwa atas satu pertuduhan sebagai seseorang yang bukan pemegang lesen perkhidmatan pasaran modal atau wakil perkhidmatan pasaran modal telah mempamerkan gelaran pematuhan kepada undang-undang sekuriti di laman sesawang “AMAL TRUST” yang mewujudkan kepercayaan bahawa dia dilesenkan untuk berniaga dalam sekuriti sebagaimana dalam Jadual 2 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Petaling Jaya antara April 2019 dan April 2021 mengikut subseksyen 362(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 372(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara selama tempoh lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hashley Tajudin dari Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin memandangkan ini adalah kesalahan serius.
“Namun, sekiranya mahkamah mahu memberikan jaminan kepada tertuduh, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM1 juta bagi kesemua pertuduhan kerana melibatkan jumlah besar iaitu berjumlah lebih RM3 juta.
“Selain itu, syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC dan dua penjamin warganegara,”katanya.
Peguam bela, Mohd. Syamril Afzan Mohd. Hasim yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah sekitar RM50,000 dengan alasan anak guamnya berstatus muflis serta menjaga ibunya.
“Anak guamnya saya hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Jumlah RM1 juta itu terlalu besar dan mustahil untuk tertuduh mampu tunaikan,” kata peguam itu.
Mendengar kedua-dua hujahan, mahkamah membenarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin warganegara berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE