fbpx

Awas, KRU sudah kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAMA ada Generasi X, Y atau Z, KRU dengan yakin mengisytiharkan semua penonton yang hadir menyaksikan konsertnya sebagai ‘genKRU’ golongan yang tetap muda bersemangat tak kira usia.

TUJUH tahun tanpa sebarang lagu mahupun persembahan pentas, membikin ‘reunion’ semula kumpulan KRU sesuatu yang cukup besar buat peminat tegarnya.

Masakan tidak, sebaik pengumuman trio adik-beradik, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim mahu mengadakan konsert, peminat sudah menggila.

Bukan satu, KRU bahkan terus ‘tapau’ tiga hari konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur selepas tiket malam pertama pada 3 Mei dan malam kedua pada 4 Mei ‘sold out’ kurang daripada sejam. Konsert hari ketiga dijadual berlangsung pada 10 Mei depan.

Menyaksikan Konsert GenKRU pada hari pertama pada Sabtu lalu, lautan ‘remaja’ 90-an membanjiri pekarangan Axiata Arena seawal pukul 6 petang.

Rata-rata mereka kembali ke zaman 1990-an bukan hanya membawa emosi tetapi lengkap dengan jersey dan seluar baggy tanda identiti KRU.

Konsert GenKRU bermula sekitar pukul 9 malam dan terus menaikkan adrenalin peminat dengan lagu Fanatik sebagai pembukaan.

Segala pengalaman dan memori sepanjang tempoh 33 tahun dalam industri seni, dicurahkan dalam pentas konsert GenKRU.

Mengenali lagu-lagu KRU sejak daripada album Canggih terbitan 1992 sehinggalah Krumena (2013), evolusi muzik mereka adalah cerminan identiti yang bergerak seiring cita rasa dan usia, namun kental jati diri.

“Sebenarnya kami sendiri tidak sangka akan kembali mengadakan konsert dan bersatu seperti hari ini. Kali terakhir adalah Konsert Gergasi KRU di Istana Budaya pada 2018 sebelum kami bubar atau berehat panjang.

“Saya menetap di England, manakala Norman dan Yusry di sini, jadi memang sukarlah untuk kami bersatu.

“Tetapi sudah rezeki kami kembali dengan sebuah konsert berskala besar. Tidak sangka peminat daripada zaman album Canggih (1992) masih ada menyokong kami sampai hari ini,” kata Edry membuka bicara.

BERBELAS tahun tanpa lagu atau konsert selepas bubar, KRU yang kembali reunion membuktikan muzik mereka tidak pernah mati sebaliknya hidup segar di jiwa khalayak. – FARIZ RUSADIO

Nostalgia

Seluruh stadium bersorak apabila KRU membikin kejutan dengan menampilkan Adam AF ketika mendendangkan lagu Terhangat Di Pasaran yang popular sekitar tahun 2000.

Jeritan bertambah kuat apabila KRU turut menyelitkan ‘produk’ sukses mereka iaitu kumpulan Elite bersama anggota asalnya iaitu Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali, Linda Rafar dan Azza Zawari.

Bersama Elite, KRU mendendangkan duet berhantu mereka iaitu Di Pintu Syurga terbitan 1996. Tidak tamat di situ, KRU menggamatkan suasana dengan siaran montaj ‘pengumuman khas’ Datuk AC Mizal yang mentauliahkan Yusry sebagai penyanyi rap turut mencuit hati penonton.

Menurut Norman dan Edry, selama 33 tahun KRU berkarya dan menghasilkan lebih 150 buah lagu, Yusry tidak pernah sekali pun rap dalam lagu mereka.

“Yusry memang penyanyi lagu balada, memang tidak pernah rap langsung. Jadi, hari ini kita mahu lihat Yusry rap,” kata Norman sambil menyarungkan rantai bersama cakera padat ke leher Yusry, satu tanda dagang yang sinonim dengan kumpulan 4U2C.

Segmen ‘tribute’ meniupkan lagi semangat muda remaja penonton apabila KRU mempersembahkan lagu Perpisahan Terasing ‘berduet’ bersama suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

KUMPULAN Elite, satu daripada produk paling berjaya yang dilahirkan KRU turut dibawa ke pentas menghangatkan keterujaan penonton.

Menilai daripada persembahan, Norman yang kini berusia 53 tahun, Yusry, 51, dan Edry, 49, dilihat berjaya memberi penampilan terbaik, cergas dan lincah di atas pentas.

Sama juga dengan penonton, ada yang seperti sudah berusia, namun tetap semangat mengikut rentak kononnya rappers dan menikmati irama KRU seadanya.

KRU sendiri, seperti melepas geram dan mampu menari tarian klasik mereka meskipun tidak serancak sewaktu darah masih muda. Satu hal yang paling mahal adalah KRU bukan sahaja memiliki katalog lagu yang begitu banyak menerusi 15 album mereka, tetapi juga bijak mengawal turun naik emosi peminat.

Biarpun pentas hanyalah di depan, KRU bijak turun ke tengah-tengah ribuan peminat ketika mendendangkan lagu Dekat Padamu, secara tidak langsung memberi pengalaman eksklusif kepada peminat.

Bijaknya, mereka turut melancarkan album ke-15 berjudul Kaset seminggu sebelum konsert berlangsung.

Konsert GenKRU yang berlangsung selama dua jam setengah pada malam pertama (3 Mei) tidak perlu dipersoal.

BEREVOLUSI dengan zaman, KRU contoh anak seni genius bukan hanya untuk karier mereka bahkan banyak memberi impak terhadap dunia muzik tanah air.

Jika ada bahagian seperti kemantapan atau vokal atau keselarian gerak tari mereka bawah ‘par’, abaikan saja.

Apa yang lebih penting adalah keseronokan KRU dan penonton menikmati momen The Way We Jam, Untukmu, Fanatik, Voodoo, Bidadari, Kekasih Separuh Masa, One More Time, Beb, Jangan Lafazkan, Mengertilah, Apa Saja dan lagu wajib mereka iaitu Awas sebagai penutup terasa sungguh puas.

KRU boleh dikatakan pemuzik genius pada zamannya dan sehingga kini lagu dendangan serta ciptaan mereka tidak lapuk ditelan zaman. KRU masih miliki aura superstar dan antara selebtriti ikonik negara.

Peminat bukan sahaja menyaksikan persembahan artis pujaan tetapi menikmati layar memori dalam kehidupan remaja mereka.

SAMA ada Generasi X, Y atau Z, KRU dengan yakin mengisytiharkan semua penonton yang hadir menyaksikan konsertnya sebagai ‘genKRU’ golongan yang tetap muda bersemangat tak kira usia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI