SUBANG JAYA – Polis telah merakam percakapan lima individu termasuk pelajar dan guru berkaitan siasatan kes seorang pelajar tingkatan dua yang mendakwa dibuli dan dipukul di sebuah sekolah di USJ 4, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan masih diteruskan.
“Lima saksi telah dirakam percakapan termasuk mangsa sendiri, pelajar yang terlibat dan guru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, polis sedang menyiasat dakwaan seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang menjadi mangsa buli dan pukul pelajar lain di sebuah sekolah di USJ 4 sejak bulan lepas.
Wan Azlan berkata, polis menerima laporan daripada bapa mangsa yang berusia 43 tahun, Jumaat lepas setelah mengetahui kejadian itu sudah berlaku berulang kali.
Beliau berkata, mangsa memaklumkan bapanya pada pukul 2.30 petang hari yang sama dengan mendakwa dia telah dipukul oleh seorang pelajar di sekolah berkenaan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE