fbpx

3 direman kes rasuah tender projek lampu isyarat, jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua pegawai PBT di Pulau Pinang dan seorang pemilik syarikat direman oleh SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah.

GEORGE TOWN – Dua pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini bersama seorang pemilik syarikat ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit rasuah sejak 2016 melibatkan tender projek pemasangan lampu isyarat dan lampu jalan.

Pegawai Pendaftar Mahkamah Majistret George Town, Muhammad Azam Md Eusoff membenarkan dua penjawat awam direman selama empat hari sehingga 9 Mei, manakala pemilik syarikat selama dua hari sehingga hari ini selepas permohonan dibuat SPRM di mahkamah berkenaan, semalam.

Menurut sumber, dua penjawat awam berkenaan masing-masing melibatkan seorang lelaki dan wanita serta pengarah syarikat lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang ketika hadir memberi keterangan antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang, kelmarin.

”Siasatan awal mendapati beberapa pemilik syarikat telah memberi rasuah kepada beberapa penjawat awam di sebuah majlis perbandaran sebagai balasan membantu untuk mendapatkan tender projek lampu isyarat dan lampu jalan dengan mengemukakan permohonan mengandungi butiran matan palsu.

”Kedua-dua penjawat awam berkenaan dipercayai telah menerima suapan kira-kira RM3,000 sehingga RM5,000 sejak 2016 tanpa perlu membuat semakan terhadap dokumen yang dihantar pemilik syarikat terlibat,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.

Katanya, operasi dijalankan SPRM ini adalah bagi membanteras rasuah yang berlaku di dalam agensi kerajaan khususnya PBT bagi mengelakkan syarikat yang tidak memenuhi kelayakan daripada dipilih sehingga menyebabkan projek kemudahan awam ini akan tergendala. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI