fbpx

Warga emas maut, senapang ‘makan’ tuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ROMPIN – Seorang lelaki warga emas maut selepas terkena tembakan senapang patah buatan sendiri ketika keluar memburu di kawasan Tebu Hitam di sini kelmarin.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam kejadian itu mangsa yang berusia 62 tahun dikatakan keluar memburu di kawasan hutan Tebu Hitam bersama enam rakannya.

“Berdasarkan laporan polis senapang patah buatan sendiri meletup dan terkena jari kelingking tangan kanan mangsa seterusnya mengenai sisi dada sebelah kanan mangsa.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan semalam mendapati punca kematian adalah ‘Gun shot Injury To The Chest’,”katanya disini hari ini.

Menurutnya siasatan giat dilakukan dan pada masa ini kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).

Dalam pada itu katanya, susulan kejadian pihak polis menahan lima lelaki melayu berusia lingkungan 35 tahun hingga 67 tahun dan seorang lelaki Asli berusia 46 tahun kerana terlibat dengan aktiviti pemburuan haram.

Beliau berkata, turut dirampas lima laras senapang patah buatan sendiri dan selaras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000.

Sementara beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang memiliki sebarang senjata api buatan sendiri atau pemilikan senjata api tanpa lesen yang sah.

“Ditegaskan mana-mana individu yang memiliki senjata api buatan sendiri atau tanpa lesen yang sah agar segera menyerahkan kepada pihak polis sebelum tindakan tegas
diambil,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI