KLANG – Keputusan sama ada Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman perlu mengosongkan kerusi Parlimen itu atau tidak akan diputuskan setelah menerima dokumen berkaitan daripada Suhaili dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, beliau setakat ini telah menerima surat daripada Bersatu berhubung permohonan parti itu memintanya untuk mengisytiharkan pengosongan kerusi Parlimen Labuan, baru-baru ini.
“(Selepas menerima surat daripada Bersatu) saya telah mengutuskan surat kepada Suhaili.
“Saya memerlukan beberapa dokumen berkaitan (daripada Suhaili dan Bersatu) sebelum membuat keputusan (sama ada Suhaili perlu mengosongkan kerusi Parlimen Labuan atau tidak),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Konsultatif Ahli Parlimen Muda ASEAN (YPA) yang ke-2 di Hotel Wyndham Acmar, hari ini.-KOSMO! ONLINE