PUTRAJAYA – Pihak berkuasa diminta mengambil tindakan segera untuk menimbus kolam terbiar yang menjadi punca kejadian seorang kanak-kanak lemas di Presint 17, di sini semalam.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera bagi mengelakkan seumpama itu berulang.
“Pihak berkaitan perlu mengambil tindakan segera menimbus kawasan ini kalau ia sudah tidak digunakan, itu lebih selamat.
“Untuk pemilik tanah pula khususnya syarikat berkaitan sekiranya ada kolam yang hampir sama dalam kawasan Putrajaya ini, saya mohon supaya diambil tindakan segera bagi menjamin keselamatan anak-anak kita,” katanya ketika ditemui pemberita ketika meninjau kolam terbiar di Presint 17 di sini tadi.
Dalam kejadian petang semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas di dalam kolam takungan terbiar di Presint 17, di sini.
Mayat mangsa ditemukan dalam kolam berdekatan jejambat Presint 17 menghala Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi, di sini, oleh orang awam yang kebetulan melalui lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak berkuasa.
Katanya, Perbadanan Putrajaya (PPj) perlu membuat pemantauan kawasan yang mempunyai kolam terbiar supaya tidak menjadi lokasi ‘permainan’ anak-anak.
“Kawasan penduduk di sini ibu bapa kebanyakan bekerja, jadi kadangkala tidak sempat untuk pantau anak. Kewujudan kolam itu juga sudah lama terbiar.
“Di depan PPAM Kasturi ini ada dipasang pagar, tapi pagar itu separuh sahaja. Jadi, kita harap pagar ini dapat disambung supaya dapat menutup jalan-jalan ‘tikus’ untuk elak perkara tidak diingini terjadi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi anak-anak dan selalu mengambil tahu keberadaan mereka supaya tidak terdedah kepada bahaya sekeliling.
Katanya, kejadian lemas seumpama ini boleh memberikan kesedaran tentang kepentingan untuk mengetahui kemahiran berenang terutama ketika situasi kecemasan.
“Ini memberi kesedaran pada anak-anak kita tentang keperluan mempunyai kebolehan untuk berenang sekurang-kurangnya menyelamatkan diri dalam air.
“Itu adalah perkara yang paling penting dan saya telah mulakan di Putrajaya di pusat khidmat kami telah mengadakan program latihan berenang untuk anak-anak,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE