KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) menafikan dakwaan kononnya kelab Pantai Timur tersebut dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi jendela perpindahan musim depan.
Jurucakap TFC berkata, isu berbangkit sebelum ini telah berjaya diselesaikan pengurusan skuad Sang Penyu pada akhir bulan lalu.
“Penyelesaian penuh (tuntutan berbangkit) telah dilakukan pada 21 April lalu. Penuntut juga telah mengesahkan pembayaran tersebut dalam tempoh lima hari diberikan FIFA.
“Isu itu tidak sepatutnya ditularkan lagi kerana ia sudah ditangani secara profesional,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, jurucakap TFC menegaskan skuad Sang Penyu kini tidak dikenakan lagi sekatan
pendaftaran pemain baharu.
Terdahulu tular dakwaan di media sosial kononnya TFC dikenakan sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA berkuatkuasa 14 April lalu. – KOSMO! ONLINE