fbpx

‘Seronok juga suami tolak cerai, bukti dia masih sayang saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora mengakui hatinya gembira apabila suaminya, Dr. Rushdi Ramli tidak melafazkan talak pada prosiding sebutan pertama. – SHIDDIQIEN ZON

SHAH ALAM – Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui hatinya gembira apabila suaminya, Dr. Rushdi Ramli tidak melafazkan talak pada prosiding sebutan pertama perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini, hari ini.

Meski begitu, Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Ariffin, 51, berkata, dia perlu mempertimbangkan perkara yang harus dilakukan selepas ini termasuk sekiranya perceraian tidak berlaku.

“Apa yang difahamkan, Dr. Rushdi menolak untuk perceraian ini. Saya mohon ruang untuk melalui semua ini dan perlu fikir kalau teruskan (rumah tangga) adakah akan jadi perkara sama dan sebagainya.

“Seronok juga (suami membantah perceraian) sebab rupa-rupanya dia masih sayang pada saya. Tetapi kena fikir langkah seterusnya macam mana.

“Kami tak bermusuh dan tiada benda yang nak benci dia. Sebab dia terlalu baiklah jadi begini. Namun, saya berserah,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, hari ini.

Kata Nora, dia akan melalui proses-proses yang akan berlangsung selepas ini dengan berlapang dada selain menegaskan tindakannya memfailkan perceraian bukan sengaja untuk mencipta drama rumah tangga.

“Saya bukan nak cipta situasi atau buat drama. Saya tak perlukan semua itu dan hanya mahu bersihkan nama saya.

“Tindakan saya fail cerai pun sebab sudah terlalu penat melalui semua ini. Memang boleh bertahan tetapi sampai bila?

“Saya sudah buat apa yang patut dilakukan. Hari ini pun keputusan dia yang tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

“Walaubagaimanapun, saya sebagai isteri, perlu hormat dan berbincang selepas ini,” katanya lagi.

Ditanya sama ada perbincangan dengan pihak suami selepas ini, Nora akan melakukannya mengikut keperluan.

“Tengok keadaan macam mana, kalau perlu, perlu lakukan (komunikasi) sebab kami pun tidak bermusuh.

“Semua ini berlaku disebabkan gangguang anasir luar dan bukan daripada kami sendiri,” ujarnya.

Mengulas mengenai kecaman yang diterima daripada netizen berhubung kemelut rumah tangganya, Nora menegaskan dia hanya melakukan perkara yang sepatutnya.

Dia juga mengakui berasa penat dengan semua kemelut yang berlaku terutama melibatkan pihak ketiga.

“Bagi saya, selagi saya tak buat benda negatif seperti orang cakap dan ada arah yang jelas, okey sahaja. Saya bukan buat benda jenayah dan perkara berdosa.

“Namun, perkara ini memang menjejaskan kerjaya seni. Pengalaman saya sebagai penyanyi selama 30 tahun tercalar begitu sahaja disebabkan perkara sebegini.

“Orang memilih untuk bercakap tentang rumah tangga saya berbanding kerjaya seni. Jadi, saya terlalu penat untuk melalui semua ini, cukuplah,” ujarnya lagi.

Disoal sama ada rasa sayang terhadap Dr. Rushdi masih wujud dalam hatinya, dia memberitahu tiada mana-mana pihak pun inginkan perpisahan.

“Saya pernah melalui bercerai mati dan sebagai isteri, siapa yang mahukan perpisahan.

“Namun, kalau ini yang terbaik untuk saya dan anak-anak, memang perlu lalui juga walaupun perit sebab tak tahu apa yang Allah SWT sudah tulis.

“Hari yang mendatang, saya perlu duduk bertafakur dan berfikir. Sekurang-kurangnya sudah lakukan peekara sepatutnya untuk keluar dari persekitaran toksik.

“Mengalah juga bukan bererti kita kalah. Hidup pun perlu diteruskan,” tuturnya lagi.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini menetapkan 4 Jun sebagai tarikh sebutan kedua kes perceraian Nora dan Dr Rushdi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI