MADRID – Pasukan Real Madrid sedia untuk berbincang dengan Liverpool dalam usaha mendapatkan khidmat Trent Alexander-Arnold lebih awal supaya boleh didaftarkan bagi mengharungi kempen Piala Dunia Kelab 2025 yang bermula Jun depan.
Sebagai rekod, Arnold sudah mengesahkan keputusan untuk tidak menyambung kontrak yang ditawarkan oleh pengurusan The Reds sekali gus dibenarkan berhijrah secara percuma apabila kontraknya berakhir secara rasmi 30 Jun depan.
Menurut laporan sumber, skuad The Galacticos ‘tidak sabar’ untuk menanti kehadiran Arnold dan mahu pemain berusia 26 tahun itu melaporkan diri lebih awal sekali gus diserapkan dalam skuad utama bagi kejohanan berprestij itu.
Arnold yang sudah sebelah kaki untuk menjadi pemain terbaharu Real diharapkan menjadi calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bek kanan veteran, Dani Carvajal yang mengalami kecederaan ketika ini.
Jika Liverpool bersetuju untuk melepaskan khidmat Arnold, kemungkinan besar dia boleh bermain buat skuad kendalian Carlo Ancelotti itu pada kempen Piala Kelab Dunia yang bermula pada 18 Jun nanti.
Pengurusan Real juga tidak mempunyai masalah untuk membayar pampasan tambahan buat Liverpool kerana percaya impak yang bakal diberikan Arnold padak kejohanan di Amerika Syarikat cukup penting.
Real telah diundi dalam Kumpulan H bersama kelab Al Hilal, Pachuca dan Red Bull Salzburg. – AGENSI