MELAKA – Kes kegagalan pemaju mengisytiharkan projek di bawah Sistem Pengurusan Industri Pembinaan (CIMS) adalah kesalahan tertinggi yang direkodkan berlaku di negeri ini.
Perkara itu didedahkan oleh Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia, Mohammad Farris Abdul Aziz dalam satu sidang akhbar selepas mengetuai operasi bersepadu di tapak projek di Batu Berendam di sini, hari ini.
Katanya, sejak awal tahun ini, sebanyak 157 notis telah dikeluarkan dan 64 kertas siasatan dibuka dengan majoriti kes melibatkan kegagalan mengisytiharkan projek.
“Sehingga awal Mei ini, kita telah periksa 121 tapak binaan membabitkan 170 kontraktor dengan 82 daripadanya telah dikenakan kompaun.
“Sebanyak 34 kes ketidakpatuhan Akta 520 direkodkan dan kes kegagalan mengisytihar projek mencatat peratusan tertinggi iaitu 47.06 peratus,” katanya.
Jelasnya, pemeriksaan dijalankan meliputi akreditasi, bahan binaan, personel binaan, kontraktor serta pengisytiharan projek.
“Antara kesalahan lain dikesan dilakukan adalah menggaji pekerja binaan mahir tanpa akreditasi (29.69 peratus) dan personel binaan tidak berdaftar (10.94 peratus).
“Setakat hari ini, sejumlah 4,057 kontraktor yang berdaftar di negeri ini, pekerja binaan am (28,367 orang), pekerja binaan mahir (2,757 orang), pengurus projek binaan (2,874 orang) serta 242 penyelia binaan,” ujarnya.
Katanya, pada tahun ini sebanyak 1,578 projek telah diisytiharkan dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.6 bilion.- KOSMO! ONLINE.