BANGKOK – Seorang nenek berusia 65 tahun meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam tangki najis di rumahnya di wilayah Phitsanulok, Thailand, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Cucu perempuan mangsa menemukan mayat warga emas itu di dalam tangki najis sedalam kira-kira 3 meter sebelum polis menerima laporan pada pukul 6.25 petang (waktu tempatan) semalam.
Anggota-anggota penyelamat yang tiba kemudian menemukan mayat dan membersihkannya.
Mangsa dianggarkan mati sekurang-kurangnya selama tiga jam.
Siasatan awal mendedahkan bahawa mangsa berada di rumah seorang diri ketika kejadian berlaku.
Malangnya, dia terpijak apa yang kelihatan seperti penutup tangki septik yang rosak dan pecah, menyebabkannya terjatuh ke dalam tangki lalu lemas. – AGENSI