fbpx

Mindef komited kukuhkan kesejahteraan warga ATM di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMED KHALED (enam dari kiri) ketika melawat Tapak Projek Madu Kelulut.

TAWAU – Lawatan Menteri Pertahanan (Menhan) selama dua hari ke Sabah membuktikan keseluruhan warga pertahanan meletakkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan ekosistem kesejahte­raan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta keluarga mereka.

Lawatan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sejak Sabtu itu melibatkan tiga lokasi iaitu Kem Kukusan, Pangkalan Laut Tun Syarifah Rodziah dan Kem Kabota.

Kehadiran beliau ke Negeri Di Bawah Bayu itu juga sejajar dengan fokus keempat Kementerian Pertahanan (MINDEF) iaitu Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan.

Malah, ia juga selaras dengan aspirasi Kem MADANI yang amat menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup warga ATM.

Menerusi lawatan pada hari pertama, Mohamed Khaled telah ke Kem Kukusan, Tawau sebelum bergerak melawat forward operation based (FOB) Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR).

Pada lawatan terbabit, beliau telah diberikan taklimat oleh Komander Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2, Brigedier Jeneral Abd Munir Abd Rani berkenaan projek pembinaan baharu dan senggaraan di Kem Kukusan dan taklimat operasi di kawasan bawah tanggungjawab ATB 2.

Selain itu, Menhan turut men­yempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kem Kukusan dan menyampaikan sumbangan kebajikan berupa RM500 kepada 15 orang pesakit kronik.

Mereka terdiri daripada warga tentera dan keluarga yang bertugas di Kem Kukusan sebelum bergerak ke PL TSR.

Pada hari kedua di Tawau pula, Mohamed Khaled turut melawat Kem Kabota bagi meninjau perjalanan beberapa projek yang telah dirancang di bawah Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD).

Kehadiran beliau telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan bersama deligasi Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bersama-sama meninjau projek yang sedang berjalan di kawasan Kem Kabota.

Beliau turut diberikan taklimat berkenaan projek pembangunan dan senggaraan Kem Kabota; dan taklimat Program Kem MADANI dan Santuni MADANI ATM Kem Kabota yang telah disampaikan oleh Pegawai Memerintah 7 RAMD, Leftenan Kolonel Azmeer Rezza Ali.

Kemudian, Mohamed Khaled bersama deligasi bergerak melawat Tapak Projek Madu Kelulut, Tapak Projek Pembinaan RKAT Tambahan Pelbagai Kelas Kem Kabota dan projek senggaraan Dewan Berani Ikhlas Kem Kabota.

Selain itu, Menhan turut me­nyantuni warga Kem Kabota di dalam Majlis Ramah Mesra bersama Warga Kem Kabota dan me­n­yampaikan sumbangan kebajikan RM500 kepada 15 pesakit kronik yang terdiri daripada warga tentera dan keluarga yang bertugas di Kem Kabota.

MOHAMED KHALED menyerahkan sumbangan kepada warga tentera dan keluarga di Kem Kabota.

Mohamed Khaled berkata, projek rintis ternakan kelulut merupakan salah satu pendekatan dalam Program Kem MADANI yang dilaksanakan.

Jelasnya, projek berkenaan adalah kerjasama antara Boustead Plantation Berhad, Universiti Malaysia Terengganu dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) 7 RAMD.

Melalui projek itu juga katanya, ahli BAKAT 7 RAMD berpotensi menjana pendapatan tambahan dengan menghasilkan pasaran madu asli untuk dipasarkan secara meluas, yang mana akan menyumbang kepada ekonomi negara.

“Ia menggunakan konsep 3T iaitu Ternak, Tinggal dan Tuai dengan menyasarkan penyediaan tiga sarang kelulut satu keluarga.

“Antara lain, projek ini bertujuan menjana ekonomi keluarga dan menarik minat ahli BAKAT untuk terus konsisten dan berjaya pada masa akan datang melalui bantuan penuh pasukan dalam mengusahakan keperluan-keperluan asas,” katanya.

Tambah beliau, Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Tambahan Pelbagai Kelas Kem Kabota dijangka siap pada tahun hadapan di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR).

MOHAMED KHALED diberi penerangan tentang projek yang dirancang untuk pembangunan di Kem Kabota, Tawau.

Pada masa sama katanya, peruntukan sebanyak RM100,000 juga telah disalurkan bagi Projek Senggaraan Dewan Berani Ikhlas Kem Kabota yang merupakan Program Satu Pemimpin kepada 7 RAMD pada 27 Mac lalu.

“Peruntukan ini adalah bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan dengan kerjasama Boustead Plantations Berhad di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” kata Mohamed Khaled.

Turut mengiringi beliau pada lawatan itu adalah Panglima Me­dan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Pang­lima Lima Divisyen, Mejar Je­neral Datuk Noorrul Azril Ariffin serta pegawai-pegawai kanan TDM.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI