SHAH ALAM – Tindakan seorang komander sebuah agensi ‘mengepau’ seorang kontraktor sebanyak RM5,000 untuk memperakukan kerja-kerja pembekalan membawa padah apabila ditahan malam tadi.
Suspek berusia 45 tahun itu ditahan menerusi Op Perangkap kira-kira pukul 11.30 malam di sebuah restoran di Puchong dekat sini.
Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek telah bekerja lebih 15 tahun di jabatan tersebut telah meminta dan menerima sebanyak RM5, 000 daripada seorang kontraktor lelaki berusia 30an.
Katanya, wang tersebut dipercayai sebagai suapan bagi memperakukan pembekalan alatan untuk latihan di jabatan itu.
“Projek pembekalan kayu bermasak itu adalah bernilai RM50,000. Ia merupakan projek di jabatan tersebut pada tahun ini.
“Suspek ditangkap ketika menerima wang berkenaan daripada kontraktor malam tadi,” katanya kepada Kosmo! .
Dalam perkembangan sama, suspek bertaraf pegawai kanan di agensi itu direman selama lima hari selepas perintah berkaitan dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Aina Syakinah Aminuddin.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE