KUALA LUMPUR – Tarif timbal balik dengan Amerika Syarikat (AS) satu cabaran besar, tapi Malaysia tidak akan berdiam diri.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rundingan mengenainya sedang giat dijalankan.
“Kerajaan Madani sedang berjuang untuk rakyat dan industri. Rundingan giat dijalankan, sokongan padu diberi untuk industri tempatan dan pasaran eksport baharu sedang diteroka.
“Saya beri jaminan, Kerajaan Madani komited untuk melindungi ekonomi kita,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.
Beliau berkata, Malaysia mampu menghadapi cabaran itu dengan pendekatan seluruh negara dan perpaduan rakyat Malaysia demi masa depan bersama.
Tengku Zafrul sebelum ini dipetik berkata, rundingan tarif akan bermula hari ini dengan sifar tarif ke atas Malaysia digariskan sebagai objektif utama.
Pada 24 April lalu, Tengku Zafrul mengetuai delegasi ke Washington untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick,dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer.
Pertemuan itu menekankan mengenai kepentingan mengadakan perbincangan secara berterusan, serta kesediaan Malaysia mencari jalan penyelesaian secara membina. – KOSMO! ONLINE