LONDON – Sebuah restoran di London, Britain menjual kebab sotong gurita pada harga £17.50 (RM98) sehingga mencetuskan perdebatan di media sosial, lapor laman berita MailOnline semalam.
Restoran Pescobar di Pasar Camden itu turut menjual hot dog sotong dengan harga sama.
Menu tersebut menjadi perdebatan di media sosial selepas pencipta kandungan di platform TikTok dikenali sebagai Olivia, memuat naik video yang memaparkan dia menikmati makanan itu.
Olivia menyukai konsep itu dan membeli kebab tersebut beserta makanan sampingan, kentang goreng.
Namun, tidak semua yang sependapat dengan Olivia.
“Tidak dapat bayangkan bagaimanakan tekstur seekor sotong gurita yang dimasak secara perlahan sepanjang hari,” tulis seorang pengguna media sosial.
Seorang lagi netizen memberikan komen: “Ini sangat menyedihkan, sotong gurita adalah haiwan yang sangat pintar dan tidak boleh disembelih atau diternak.” – AGENSI