BERADA di puncak Genting Highlands untuk menyaksikan konsert M2M The Better Endings, duo pop yang popular sekitar awal era 2000-an, M2M seperti membawa semula penulis ke zaman kegemilangan mendengar lagu menggunakan radio kaset mini (walkman) berserta fon telinga.
Era tersebut boleh dikatakan zaman kemuncak M2M yang dianggotai Marion Raven dan Marit Larsen meski berlaku lambakan penyanyi berkumpulan dan solo di Hollywood ketika itu.
Sayangnya, sekitar tahun 2002, mereka memilih untuk berpecah selepas beberapa konflik dalaman, termasuk penjualan album tidak memberangsangkan.
Cukup sedikit ‘throwback’, kali ini M2M kembali menjejakkan kaki ke Malaysia selepas 23 tahun pada 27 April lalu di Arena Of Stars, Genting Highlands.
Memasuki dewan sekitar pukul 6 petang, Arena of Stars ‘full house’ dengan peminat yang tidak sabar untuk melihat kemunculan semula kumpulan yang ditubuhkan sekitar 1998 itu.
Buka sahaja pentas, Marit dan Marion merobekkan jiwa penulis tentang kenangan putus cinta tatkala menyanyikan lagu popular, The Day You Went Away.
M2M memulakan persembahan dengan sebuah lagu paling hits, itu satu idea berbeza dengan konsert penyanyi lain yang kerap mengisi segmen terakhir dengan lagu popular.
Babak pertama diteruskan lagi dengan Everything You Do dan The Minute yang membuatkan semua penonton terasa seperti kembali ke zaman remaja.
“Apa khabar Malaysia?” Itu ayat pertama yang ditutur Marion dengan senyuman manis.
Kata Marion, itu yang hanya mampu diucapkan selain teruja berpeluang beraksi di Malaysia selepas lebih dua dekad tidak ke sini.
“Sangat menakjubkan dan rasa seperti tidak percaya kerana dapat kembali ke Malaysia selepas 23 tahun. Tempoh yang sangat panjang.
“Malam ini rasa sangat istimewa sebab sudah terlalu lama menanti untuk kembali dengan sebuah konsert,” katanya.
Paling dinanti-nantikan ramai, M2M terus menghiburkan penonton menerusi lagu kesukaan ramai, Pretty Boy yang dipersembahkan diiringi petikan gitar mereka berdua.
Seluruh dewan bergema apabila semua turut menyanyikan lagu yang dihasilkan sekitar tahun 2000 itu.
Berkongsi momen perpecahan mereka, Marit berkata, perkara tersebut membuat mereka berfikir tentang hala tuju sebelum mengambil keputusan untuk bersatu kembali.
“Kami tak bertegur sapa selama 20 tahun tetapi takdir Tuhan itu hebat.
“Kami bertemu kembali di sebuah kedai kopi setahun lalu yang ketika itu hanya ada kami berdua.
“Perpisahan membuatkan kami banyak berfikir tentang apa itu persahabatan sebelum mengambil keputusan besar mengadakan konsert jelajah ini,” kongsinya.
Antara lagu yang didendangkan pada konsert duo asal Norwegian itu, Mirror Mirror, Everything, Here I Am dan Under The Surface.
Marion juga tidak ketinggalan mempersembahkan kehebatan vokalnya saat mendendangkan lagu milik Celine Dion berjudul It’s All Coming Back To Me Now sambil bermain keyboard.
Sempurna, M2M menutup pentas dengan Don’t Mess With My Love dan Don’t Say You Love Me.