fbpx

Hawk ‘tersungkur’ ketika mendarat di LTSAH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesawat Hawk milik TUDM tergelincir ketika mendarat dalam sesi latihan di LTSAH, Alor Setar hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

ALOR SETAR – Sebuah pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini petang ini.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku ketika pesawat tersebut menjalani latihan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi pada 20 hingga 24 Mei depan.

Kejadian turut disaksikan orang ramai yang berada di sekitar luar lapangan terbang tersebut untuk menyaksikan sesi latihan.

Video insiden itu yang turut tular memaparkan pesawat mengalami masalah sebelum ‘tersungkur’ di landasan.

Sementara itu, Malaysia Airports dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pesawat milik TUDM itu terlibat dalam insiden tersebut kira-kira pukul 5 petang tadi.

“Akibat kejadian itu, landasan ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan pesawat dan pembersihan dijalankan.

“Penutupan ini dijangka berlanjutan sehingga pukul 10:30 malam pada hari yang sama,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, pihak berkuasa telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (Notam) untuk memaklumkan mengenai penutupan itu.

“Semua operasi penerbangan di LTSAH terjejas sepanjang tempoh ini,” ujarnya.

Tambahnya, semua penumpang termasuk jemaah haji dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing atau Lembaga Tabung Haji bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan.

“Pihak lapangan terbang akan memberikan maklumat lanjut sebaik sahaja landasan disahkan selamat dan dibuka semula oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI