KUALA LUMPUR – Kejayaan skuad hoki remaja lelaki negara layak ke Piala Dunia Hoki Remaja bukan hanya dilihat sebagai pencapaian pengurusan semata-mata, sebaliknya ditekankan sebagai hasil daripada strategi pembangunan pemain muda untuk jangka masa panjang.
Menurut jurulatihnya, Nor Saiful Zaini, fokus sebenar adalah kepada pembangunan bakat muda yang mampu bersaing bukan sahaja pada edisi kali ini, tetapi juga pada edisi-edisi Piala Dunia seterusnya
Selain itu, matlamat utama adalah membina pasukan yang bukan sahaja bersedia untuk kejohanan sekarang, malah lebih penting lagi, layak dan berdaya saing pada masa hadapan.
Pemilihan pemain berkualiti tidak terhad kepada mereka yang menjalani latihan sejak usia muda dengan keupayaan untuk menyerlah dalam tempoh singkat juga diberikan pertimbangan serius.
“Adalah sesuatu yang baik Malaysia bermain di Piala Dunia, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita membawa masuk pemain-pemain muda.
“Tak semestinya dia berlatih daripad Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Kadang-kadang dia mula Tingkatan 5, kita boleh nampak dia punya bakat. Kita masih boleh pertimbangkan dia,” kata Saiful.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal memaklumkan bahawa Nor Saiful telah ditawarkan kontrak selama tiga tahun untuk membimbing skuad remaja negara menghadapi Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Chennai, India hujung tahun ini serta edisi seterusnya pada 2027.
Langkah itu menunjukkan komitmen MHC untuk meletakkan pembangunan akar umbi dan memberi peluang kepada pemain-pemain muda mengutip pengalaman yang berharga dan melalui proses persediaan lebih rapi. – KOSMO! ONLINE