fbpx

ECRL: 210 pelajar IPT jalani Iatihan industri di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan Anthony pada Sesi Penyerahan Surat Tawaran Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL O&M) Ke Liuzhou, China di Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 210 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) akan dihantar ke Liuzhou, China bagi menjalani latihan intensif selama setahun sebagai kesediaan untuk operasi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka bermula Januari 2027.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kumpulan bakat tempatan daripada 15 institusi itu akan melalui Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL).

Menurut beliau, seramai 102 penuntut ini akan menjadi kumpulan pertama berlepas ke China secara berperingkat bermula pada 15 Mei ini.

“Para pelatih yang terdiri daripada bidang teknikal dan bukan teknikal ini akan mengikuti latihan komprehensif yang merangkumi teori, amali, serta pengalaman sebenar dalam operasi sistem rel.

“Latihan itu bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja mahir untuk jawatan seperti Assistant Station Attendant, Signaling Technician, Assistant Train Driver, Overhead Line Technician dan juga E-Loco & Electric Multiple Unit (EMU) Maintenance Technician,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL, di sini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Tambah Anthony, para penuntut tersebut juga turut dijamin peluang pekerjaan bersama ECRL sebaik sahaja tamat latihan.

Mengulas lanjut, katanya, beliau difahamkan bahawa Projek ECRL memerlukan seramai 1,800 tenaga kerja apabila fasa pengoperasian ia bermula pada Januari 2027.

“Pihak MRL telah menetapkan agar sekurang-kurangnya 80 peratus tenaga kerja ini terdiri daripada warga tempatan.

“Tenaga kerja ini akan terdiri daripada pelbagai tahap kepakaran, meliputi pekerja berpengalaman dan pekerja baharu, bagi memastikan operasi ECRL dapat dijalankan dengan cekap dan berkesan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI