PETALING JAYA – Mendedahkan situasi di belakang pentas sebelum Konsert GenKRU, isteri kepada Datuk Yusry Abdul Halim, Datin Lisa Surihani mengakui suaminya berperang dengan tekanan.
Katanya, debaran semakin berganda menjelang tempoh beberapa minit sebelum pentas persembahan mega di Axiata Arena Bukit Jalil itu bermula.
“Moments before opening (sebelum konsert bermula). Boleh rasa degupan jantung dia laju. ‘Doakan I yang (sayang),'” tulis aktres itu dalam hantaran Instagram.
Lisa atau nama lengkapnya, Lisa Surihani Mohamed, 39, memuat naik beberapa paparan gambar menunjukkannya menenangkan Yusry.
Menurutnya lagi, Yusry sebenarnya kurang sihat pada malam pertama dan kedua kemunculan trio bersaudara terbabit.
Sebagai isteri, ujar Lisa dia cuba menyuntik semangat dengan mengalihkan perhatian menerusi perbualan santai serta mengingatkan kasih peminat terhadap KRU.
“Saya cuma ingatkan dia, buat seperti biasa. Bismillah. Usaha yang terbaik, selebihnya, serah pada-Nya.
“Yang datang dan menyaksikan, mereka tahu. Mereka cinta dan hargai kamu semua,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Lisa memaklumkan tahap kesihatan Yusry semakin baik menjelang konsert malam ketiga pada 10 Mei ini.
“Kak Chik (panggilan Lisa) tak boleh kongsi gambar lebih, demi menghormati mereka yang belum hadir untuk malam ketiga nanti. Doakan mereka ya?” ujarnya.
Terdahulu, konsert GenKRU malam pertama dan kedua yang berlangsung pada 2 dan 3 Mei lalu meraih pujian ramai yang membanjiri Axiata Arena.
Kali terakhir trio yang turut dibarisi Datuk Norman dan Edry beraksi dalam konsert mega adalah pada 2018 melalui Konsert GenerasiKRU25 di Istana Budaya. – KOSMO! ONLINE