fbpx

Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN bakal berlangsung di KL Julai ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jaffri Amin Osman

PETALING JAYA – Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM) telah bekerjasama dengan  ASEAN Public Relations Network (APRN) yang berpangkalan di Jakarta, untuk menganjurkan Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN yang yang akan diadakan di Kuala Lumpur (KL) 7 Julai ini.

Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN ini akan diselaraskan secara strategik dengan acara penting perhubungan awam di Kuala Lumpur, iaitu Persidangan PR Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP 7) yang diadakan setiap tahun.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, KLIP telah menjadi persidangan global utama untuk pemimpin, profesional dan akademik dalam bidang PR dan komunikasi dari ASEAN serta seluruh dunia, dalam usaha untuk berkongsi pandangan terkini industri.

Melalui tema tahun ini iaitu Kecerdasan Buatan (AI) Berimpak, Komunikasi Media Sosial dan Pendidikan Dalam Talian untuk ASEAN dan Komuniti Global (Impactful AI, Social Media Communication and Online Education for ASEAN and the Global Community), KLIP 7 akan meneroka trend dan cabaran paling mendesak yang sedang mentakrifkan semula dunia perhubungan awam.

Prita Kemal Gani

Persidangan ini akan menampilkan pembentangan dan perbincangan yang berfokus kepada strategi kolaboratif untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan dalam talian dan pendidikan merentasi ASEAN. 

Pengerusi Lembaga Akreditasi IPRM, Profesor Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, Malaysia memerlukan sokongan penting terhadap inisiatif serantau ASEAN dan di sinilah terletaknya peranan komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris agar dapat memastikan keberkesanan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, selari dengan dapatan kajian komprehensif oleh Unit Kajian Pilihan Raya UIAM (IIUM Electoral Studies Research Unit).

“Dengan kemahiran ini, bersama dengan pengalaman antarabangsa Malaysia yang luas, ia akan menjadi elemen penting dalam mewakili ASEAN di peringkat global. 

“Ini sejajar dengan matlamat persidangan dan anugerah yang akan datang untuk menggalakkan kerjasama dan meningkatkan standard PR serta komunikasi di seluruh rantau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, Presiden IPRM, Jaffri Amin Osman menjelaskan gabungan antara Anugerah Kecemerlangan ASEAN dan Persidangan Antarabangsa ini akan memberi peluang unik bagi meraikan pencapaian serta memacu dialog bermakna mengenai isu-isu penting terutamanya berkaitan AI, pengurusan isu dan krisis, etika dan tadbir urus dalam PR dan komunikasi.

Dalam pada itu, Presiden APRN, Prita Kemal Gani menjelaskan, Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN akan mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam bidang perhubungan awam di seluruh rantau ASEAN, meraikan kempen inovatif dan inisiatif berimpak yang telah menyumbang kepada kemajuan profesion ini.

“Kami amat teruja untuk membawa anugerah ini ke Kuala Lumpur tahun ini, sebagai bukti kerjasama dan dinamik yang semakin berkembang dalam komuniti PR ASEAN. 

“Acara ini akan menjadi pemangkin kepada penambahbaikan dan kecemerlangan berterusan dalam bidang kami,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN