ALOR SETAR – Polis menembak mati tiga penjenayah disyaki terlibat kes curi kenderaan untuk diseludup ke Thailand dalam kejadian berbalas tembakan di sebuah inap desa di Sik, dekat sini pada Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, serbuan itu dilakukan pada pukul 2.30 pagi hasil maklumat risikan pasukan khas tersebut.
“Tiga suspek terbabit disyaki terlibat dalam sindiket curi kenderaan pacuan empat roda yang aktif di empat negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka dan Pahang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.
Katanya, ketika serbuan, tiga suspek terbabit cuba melarikan diri serta turut melepaskan tembakan ke arah anggota polis.
“Dua suspek gugur (mati) dan seorang lagi cuba melarikan diri sebelum bertindak melibas anggota polis dengan sebilah parang, namun akhirnya suspek itu ditumpaskan juga. Anggota polis berkenaan mengalami kecederaan di dada akibat libasan itu,” ujarnya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua pucuk pistol serta peluru selain Honda CRV yang mempunyai rekod hilang di Petaling Jaya pada 26 April lepas.
Katanya, ketiga-tiga suspek yang berusia 35 hingga 37 tahun mempunyai rekod curi kenderaan dan dadah.
“Polis masih mengesan saki baki suspek termasuk dalang sindiket ini yang dipercayai warga asing. sindiket berkenaan disyaki terlibat dalam 73 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda termasuk 18 kes di Melaka,” ujarnya.
Jelasnya, sindiket berkenaan disyaki terlibat dalam 73 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda termasuk 18 kes di Melaka.- KOSMO! ONLINE