PETALING JAYA – Orang ramai kagum dengan penghasilan video perkahwinan hasil rakaman oleh seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mana mereka memujinya cantik dan berbakat.
Video itu dirakam oleh kanak-kanak itu dalam satu majlis perkahwinan di Setia Alam, manakala difahamkan suntingan dibuat oleh bapanya yang juga seorang jurugambar video profesional.
Gelagat kanak-kanak tersebut merakam video dikongsikan ibunya pada Instagram Adila Shahida dan dia turut berkongsi hasil rakaman anaknya yang telah disunting.
“Bila anak selalu tengok abahnya buat kerja, dia pun nak juga. Mujur mudah nak guna dengan DJI Osmo Pocket 3 (jenama kamera). Bolehlah buat ‘job’ (kerja) tepi,” katanya pada kapsyen.
Menerusi komen daripada pengguna Instagram, ramai yang memuji serta kagum dengan kanak-kanak tersebut, malah mereka turut berharap bakatnya terus digilap dalam bidang berkenaan.
“Mantap dik, semoga jadi ‘videographer’ (jurugambar video) profesional bila besar nanti. Acik suka,” komen qaseh anuar.
“Hebatnya dia,” kata aziziphotography.
“Wow mantap dik. Ada bakat, teruskan,” komen missfza.
“Bakal ‘videographer’ hebat,” kata lilit by fara. – KOSMO! ONLINE