PETALING JAYA – Seorang rakyat Republik Malta mengakui kereta kompak keluaran syarikat Perodua iaitu Perodua Kelisa antara kereta yang paling selesa dipandu.
Malah wanita yang dikenali sebagai Claudine Alcock memberitahu kereta tersebut juga antara kereta yang senang untuk parkir.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Motoqar, wanita itu memberitahu dia sudah seminggu membeli kereta itu pada harga EUR700 atau dalam mata wang tempatan sekitar RM3,363 sahaja.
“Kereta Asian lagi bagus dari ‘Europe car’ dan paling suka kerusi Kelisa yang selesa serta paling penting mudah parkir,”kata wanita itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna bersetuju dengan pendapat wanita itu dan mereka mendakwa kereta Perodua Kelisa antara kereta yang paling jimat, selesa dan paling senang untuk mendapatkan parking terutamanya di bandar sibuk seperti Kuala Lumpur.
“Sangat setuju dengan wanita ini, kereta Kelisa antara kereta paling berbaloi, dahlah minyak jimat, kecik, senang nak cari parking di mana-mana tempat,”tulis Mat Rockie.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ruslan Isa.
“Rupa-rupanya orang luar lebih hargai kereta tempatan Malaysia, sebaliknya orang-orang tempatan lebih hargai kereta-kereta asing,”katanya.-KOSMO! ONLINE