KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat dimaklumkan terdapat kemungkinan Amerika Syarikat (AS) akan mengurangkan tarif timbal balas yang dikenakan terhadap Malaysia.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses perbincangan itu namun masih di peringkat awal tanpa persetujuan dimuktamadkan.
“Kita mengalu-alukan pengakuan dan kerjasama AS untuk berbincang lebih lanjut dengan Malaysia,” katanya pada sesi mesyuarat khas penerangan berkenaan isu tarif AS di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata, delegasi Malaysia diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengadakan Lawatan Kerja ke AS pada 22 hingga 24 April lalu.
Menurut beliau, Malaysia antara 18 buah negara yang setakat ini berjaya mengadakan mesyuarat dengan kerajaan AS.
“Setakat ini, tawaran Malaysia kepada AS termasuk menangani Halangan Bukan Tarif yang disenaraikan dalam `National Trade Estimates Report 2025′ yang dikeluarkan AS baru-baru ini,’ katanya. – KOSMO! ONLINE














