PETALING JAYA – Pelakon Datin Seri Umie Aida memohon maaf kepada aktor Datuk Rosyam Nor sekiranya lakonannya termasuk babak menendang muka dalam drama Keluarga Itu bersifat keterlaluan dan menggores perasaan ahli keluarga.
Umie atau Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, berkata, semua yang dilakukan hanyalah untuk memastikan watak Chempaka direalisasikan dengan baik.
“Abang (Rosyam), saya nak minta maaf sangat. Saya tahu abang yang suruh saya buat babak itu, tetapi memang berat untuk dilakukan.
“Saya nak minta maaf sangat-sangat terutamanya pada keluarga, anak-anak dan cucu-cucu abang. Saya tak pernah buat macam itu dekat orang lain,” katanya dalam sebuah video Instagram.
Difahamkan, permohonan maaf itu dilakukan susulan babak Chempaka lakonan Umie menendang muka Iman (Rosyam) kerana merogol anak sendiri dalam drama tersebut.
Meskipun begitu, Umie menegaskan rasa hormatnya pada Rosyam masih tinggi selain menyifatkan aktor tersebut sebagai lelaki penyayang.
“Memang bergurau tapi rasa hormat saya pada Rosyam tetap ada.
“Rosyam seorang aktor hebat, abang yang penyayang walaupun mulut memang tak ada insurans,” katanya lagi.
Sementara, Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 58, pula menegaskan babak menendang muka itu adalah sebahagian daripada tuntutan kerja sebagai seorang pelakon.
“Tak mengapa Umie, ini kerja. Abang pun tak pernah beri pelakon lain buat begitu.
“Kita sudah lama berlakon bersama dan seperti adik abang. Untuk melakonkan watak sebegitu, abang okey sahaja,” jelasnya yang kali terakhir dia bergandingan bersama Umie menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Hari ini, tular dalam media sosial babak Chempaka menendang muka Iman selepas mendapat tahu suami sendiri merogol anak kandung mereka, Dhini yang juga seorang kanak-kanak autistik.
Sejak Februari lalu, drama Keluarga Itu menjadi bahan bualan hangat susulan mengetengahkan isu sumbang mahram.
Pelbagai kritikan dan kecaman dilemparkan namun Keluarga Itu berjaya mencetuskan fenomena dalam media sosial.
Selain Umie dan Rosyam, drama dibintangi barisan pelakon Fattah Amin, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Izara Aishah dan Muaz Zabir sedang disiarkan setiap hari Jumaat hingga Ahad, pukul 9 malam di TV3. – KOSMO! ONLINE
@madam_faezah hidup chem 😂😂😂#⚠️fakefigthing⚠️ #keluargaitu #dramamelayu #dramatv3 #telemoviemelayu #tonton #puteribalqis #izaraaishah #umieaida #datorosyamnor #fattahamin #fypシ゚ #fyppppppppppppppppppppppp ♬ suara asli – Bobby Maulana