fbpx

[VIDEO] Kemunculan Elite, Adam kejutan konsert GenKRU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemunculan Elite menjadi antara momen manis konsert GenKRU yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Penampilan kumpulan Elite dan Adam AF2 berduet bersama KRU menjadi kejutan manis kepada lebih 9,000 penonton pada hari pertama konsert GenKRU yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

KRU yang dianggotai trio adik-beradik, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim mendendangkan lagu Di Pintu Syurga bersama anggota asal Elite.

Sorakan seluruh stadium bergema apabila kumpulan Elite asal yang dianggotai oleh Azza Zawaru, Abby Abadi, Watie Sadali, Linda Rafar dan Sasha Saidin muncul di atas pentas.

Bersama Adam, KRU mendendangkan lagu duet mereka, Terhangat Di Pasaran.

“Selama 33 tahun berada dalam industri dan selepas genap tujuh tahun tidak muncul dengan lagu baru, tidak sangka kami akan kembali menemui kalian (peminat) dalam konsert di sini.

“Terima kasih kepada yang menyokong kami daripada album Canggih (1992) sehingga kini. Malam ini kita menjadi remaja selamanya,” tutur Edry.

Konsert GenKRU dibanjiri lebih 9,000 penonton sekali gus membuktikan kehebatan KRU yang dianggotai Norman, Yusry dan Edry yang masih memiliki kelompok peminat tersendiri.

Tidak tamat di situ, KRU menggamatkan suasana dengan siaran montaj ‘pengumuman khas’ Datuk AC Mizal yang mengumumkan Yusry sebagai penyanyi rap turut mencuit hati penonton.

Hal ini kerana, menurut Norman dan Edry, selama 33 tahun KRU berkarya dan menghasilkan lebih 150 buah lagu, Yusry tidak pernah sekali pun rap dalam lagu mereka.

Segmen tribute turut membuat penonton teruja apabila KRU mempersembahkan lagu Perpisahan Terasing ‘berduet’ suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Dalam konsert berdurasi dua jam setengah itu, KRU mendendangkan kira-kira 20 buah lagu antaranya, Awas, The Way We Jam, Untukmu, Fanatik dan lagu baru mereka berjudul Voodoo. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI