MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim tidak akan menurunkan kesebelasan terbaik pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech malam ini.
Ia gara-gara beliau enggan mengambil risiko dengan tahap kecergasan pemain memandangkan fokus utama The Red Devils ketika ini adalah mara ke final Liga Europa dan bergelar juara sekali gus menyambar slot ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Justeru, pemain-pemain yang memiliki kecederaan kecil atau tidak cergas akan direhatkan dan Amorim sedia mempertaruhkan barisan simpanan, lebih-lebih lagi selepa menyedari mereka terselamat daripada penyingkiran.
“Perkara utama saya akan fokus adalah pemain-pemain yang berisiko untuk mendapat kecederaan tidak akan diturunkan. Saya akan buat penilaian terhadap semua pemain mengenai tahap kecergasan mereka.
“Bagaimanapun, perlu diingat bahawa kami adalah Manchester United dan setiap perlawanan perlu dimenangi. Mungkin ia akan menjadi tugas sukar tetapi kami sudah mengharungi banyak cabaran musim ini,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menyambut baik kepulangan pemain sayap, Amad Diallo yang diturunkan ketika menewaskan Athletic Bilbao 3-0 di separuh akhir pertama Liga Europa kelmarin.
“Kehilangannya (Diallo) sangat dirasai kerana dia banyak mencipta peluang untuk pasukan. Sekarang dia sudah kembali walaupun masih memerlukan masa bagi mendapatkan prestasi terbaiknya sebelum ini,” ujar Amorim. – AGENSI