PETALING JAYA – Tiada maaf bagi pembuli apatah lagi membuli orang kurang upaya (OKU)
Demikian penegasan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung satu rakaman video tular dipercayai insiden buli yang berlaku di GiatMara Durian Tunggal, Melaka.
Menurut beliau, walau apa jua alasan termasuk gurauan tidak boleh diterima dan tindakan tegas pasti akan diambil terhadap para pelaku.
Katanya, beliau telah menghubungi dan meminta Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara untuk mengambil tindakan segera.
“Siasatan awal mendapati kejadian tersebut adalah gurauan kasar sesama pelatih semasa menjalani latihan di GiatMara Alor Gajah dahulu.
“Kini mereka sedang menjalani Latihan Industri (LI) dalam Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video seorang pelajar OKU didakwa menjadi mangsa buli di GiatMara Durian Tunggal sehingga mencetuskan kemarahan netizen.
Asyraf Wajdi berkata, beliau dimaklumkan pengurusan GiatMara Melaka akan memanggil dan berjumpa dengan semua individu dalam rakaman video tersebut esok.
Katanya, turut dipanggil adalah pelatih GiatMara yang menjadi mangsa untuk siasatan lebih terperinci mengikut prosedur pengurusan pelatih sedia ada.
“Saya tegaskan sekali lagi bahawa tiada kompromi terhadap sesiapa yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk samaada fizikal atau mental.
“Tiada tempat buat pembuli di mana-mana Institusi Pendidikan Mara. Pengurusan Mara di semua peringkat amat memahami prinsip saya ini.
“Tindakan paling tegas pasti akan diambil pihak pengurusan jika didapati wujud salah laku dan jenayah buli tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE