fbpx

RUU Perkhidmatan Bomba tunggu perkenaan Agong untuk diwartakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAMBUTAN Hari Bomba Sedunia dimeriahkan dengan perarakan 34 kontinjen serta 50 jentera melibatkan lebih 1,500 anggota bomba di Padang MBK di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Rang Undang-undang (RUU) Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang diluluskan oleh Dewan Negara pada 23 Mac lalu kini sedang menanti perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pindaan akta terbaharu itu amat penting dalam memperkemas aspek pengurusan pasukan bomba sukarela, pasukan kadet bomba, pasukan bomba persendirian, serta perunding dan firma perunding keselamatan kebakaran.

Katanya, ia turut merangkumi peraturan terhadap orang kompeten dan kontraktor keselamatan kebakaran, penyedia latihan berdaftar dan pengajar serta kelengkapan menentang kebakaran dan pepasangan keselamatan kebakaran.

“RUU berkenaan kini menunggu perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan dan dikuatkuasakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ di Padang MBK 1 di sini, hari ini.

Sambutan itu dimeriahkan dengan perarakan 34 kontinjen serta 50 jentera melibatkan lebih 1,500 anggota daripada JBPM, pasukan bomba sukarela, bomba pelabuhan Kuantan, Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia dan pasukan industri termasuk Petronas Petrochemical & Fire Services Response (CEFS).

Majlis berkenaan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli merasmikan sambutan tersebut.

Keberangkatan baginda turut diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI