fbpx

Rinjani maut: ‘Ini gunung terakhir saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Allahyarham Rennie ketika mendaki di salah satu gunung di Malaysia. FOTO FACEBOOK

PETALING JAYA – Hasrat seorang rakyat Malaysia melakukan pendakian terakhir bertukar tragedi apabila maut sewaktu dalam perjalanan turun selepas menawan puncak Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia semalam.

Arwah Rennie Abdul Ghani, 57, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh di laluan curam Torean yang merupakan satu daripada tiga laluan di gunung berkenaan.

Adik arwah yang mahu dikenali sebagai Yana berkata, abangnya berlepas ke Indonesia pada 30 April lalu bagi menyertai ekspedisi pendakian bersama 23 pendaki anjuran Juan Adventure Rinjani.

Katanya, arwah Rennie dijangka pulang ke tanah air hari ini selepas selesai ekspedisi berkenaan.

“Kali terakhir kami berkumpul pada Aidilfitri lalu. Abang beritahu ini (gunung) akhir yang dia mahu daki.

“Selepas ini, dia (kata) mahu sertai maraton. Sebelum ini arwah abang selalu sertai acara maraton,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Yana berkata, mereka sekeluarga terutama isteri arwah masih bersedih dengan berita kematian itu yang diterima pada pukul 8 malam semalam.

Mayat Rennie masih terperangkap di lokasi kejadian berikutan keadaan gunung yang agak mencabar untuk dibawa keluar dari gunung tersebut.

“Helikopter tidak dapat masuk ke kawasan itu kerana keadaan cerun yang terlalu curam. Pasukan penyelamat sedang berusaha (dengan cara ) berjalan kaki bagi membawa keluar jenazah.

“Proses ini dijangka mengambil masa selama sehari memandangkan laluan yang dilalui adalah amat sukar dan mencabar,” katanya.

Difahamkan, arwah yang menetap di Seri Alam, Johor merupakan jurutera syarikat minyak dan gas dan mempunyai tiga anak.

Terdahulu, media melaporkan seorang pendaki Malaysia terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani pada pukul 12 tengah hari waktu tempatan.

Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan pelbagai agensi membabitkan puluhan anggota Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Mataram, pasukan perubatan serta Unit Pencarian dan Pertolongan (SAR) Lombok Timur.

Untuk rekod, laluan Torean di Gunung Rinjani dibuka secara rasmi pada tahun 2020 yang menawarkan pemandangan indah, namun lebih mencabar dan ekstrem berbanding Sembalun dan Senaru. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI