PETALING JAYA – Pendaki Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, dikatakan terlepas tali keselamatan menyebabkan dia tergelincir lalu terjatuh di laluan curam Torean Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Indonesia, semalam.
Menurut Balai Taman Nasional Gunung Rinjani, berdasarkan maklumat daripada pemandu pelancong dan rakan mangsa, kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 11 pagi ketika kumpulan mereka berhenti untuk mengambil air minuman di mata air Banyu Urip (laluan Torean).
Bagaimanapun, mangsa meneruskan perjalanan tanpa berehat sambil ditemani oleh ketua ekspedisi.
“Di laluan yang mempunyai tali keselamatan, ketua rombongan berniat membantu mangsa melalui laluan tersebut, namun mangsa menolak bantuan.
“Ketika menuruni laluan itu, mangsa terlepas pegangan daripada tali keselamatan dan tergelincir, lalu hilang keseimbangan dan terjatuh ke arah kanan laluan pendakian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, mangsa telah ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan berjaya dibawa keluar dari dasar gaung berkedalaman 80 meter sekitar pukul 10.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.
“Jenazah kini sedang dalam perjalanan menuju pintu masuk destinasi pelancongan pendakian Torean dan seterusnya akan dibawa ke Hospital Bhayangkara Mataram untuk proses pengurusan jenazah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE