fbpx

Piala Sudirman: Mohamad Norza persoal kemahuan pemain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Norza menganggap kekalahan Malaysia di pentas suku akhir Piala Sudirman mengecewakan kerana ia menghampakan seluruh peminat.

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria meluahkan rasa kecewa atas penyingkiran skuad badminton negara di pusingan suku akhir pada saingan Piala Sudirman 2025.

Beliau menyifatkan kurang semangat juang yang tinggi dalam kalangan pemain negara menjadi punca Malaysia kempunan untuk melangkah ke pentas separuh akhir buat kali ketiga berturut-turut.

Mohamad Norza berkata, mungkin pasukan negara masih belum berada pada tahap untuk melangkah ke final, namun dengan barisan pemain sedia ada, Malaysia mampu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

“Tentu sahaja mengecewakan kerana saya fikir kalau dari segi kedudukan pemain-pemain, kita memang layak untuk menjadi empat terbaik (separuh akhir) tetapi sekali lagi kita tidak dapat capai matlamat itu.

“Antara perkara yang perlu dilihat, sama ada pemain-pemain kita mahukan kejuaraan ataupun tidak dan adakah sanggup berjuang bermati-matian untuk capai apa yang diinginkan seperti pemain-pemain negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Malaysia bagi Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Jumaat lalu, pasukan badminton negara terpaksa akur tersingkir di pusingan suku akhir apabila gagal menandingi kehebatan pasukan tuan rumah, China selepas tewas dengan keputusan 0-3.

Dalam pada itu, Mohamad Norza yang merupakan bekas Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menganggap semangat patriotik dalam diri merupakan salah satu perbezaan antara pemain-pemain Malaysia dan negara lain.

“Di samping kita ada kemahiran teknikal, kita juga memerlukan semangat patriotik yang tinggi. Bagi saya, itu yang membezakan kita dengan negara-negara lain seperti Indonesia, Jepun, China dan Korea Selatan,” ujarnya.

Sebagai rekod, Malaysia masih belum pernah memenangi kejohanan berpasukan campuran itu dengan pencapaian terbaik adalah layak ke separuh akhir sebanyak tiga kali pada edisi 2009, 2021 dan 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI