fbpx

Pemain jangan rasa terlalu yakin – Sumali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUMALI (belakang, enam dari kiri) bersama Mohamad Norza dan barisan pemain pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pasukan sepak takraw kebangsaan diingatkan supaya tidak terlalu yakin meskipun turun sebagai tuan rumah pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa bermula 10 Mei ini.

Presiden Persatuan Sepaktaraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan berkata, pemain-pemain perlu mengekalkan semangat juang tinggi selain memastikan mental berada dalam keadaan bersedia.

Justeru, Malaysia tidak boleh terlalu memberikan perhatian terhadap Thailand sahaja kerana ia mampu meletakkan pasukan negara dalam keadaan bahaya, terutamanya dengan peningkatan ketara dipamerkan pasukan-pasukan lain.

“Saya tidak mahu kita jadi terlalu yakin disebabkan status sebagai tuan rumah kerana apa yang paling penting adalah untuk mengekalkan semangat juang tinggi selain mempamerkan aksi maksimum.

“Jangan kita hanya fokus kepada Thailand semata-mata kerana kita juga perlu berwaspada dengan negara-negara lain seperti Korea Selatan, Vietnam dan China. Permainan mereka sudah semakin berkualiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Malaysia yang turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, di sini hari ini.

Pada masa sama, Sumali tetap menganggap aksi di laman sendiri mampu memberikan kelebihan kepada pasukan negara, terutamanya dengan aura yang dibawa penyokong ke dalam stadium.

“Saya harap stadium akan penuh dari awal saingan hingga ke akhir. Penyokong mana-mana negara tetap sama, namun apa yang membezakan kita dengan mereka adalah aura serta tahap sokongan diberikan.

“Bagaimanapun, apa yang paling penting prestasi pemain pada ketika itu. Kalau penonton sahaja hebat tetapi prestasi tidak maksimum, sama sahaja. Harap kali ini kita boleh beri lebih berbanding sebelum ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI