TUMPAT – Kegembiraan dua sekawan untuk memancing bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas tergelincir jatuh ke Sungai Pengkalan Nangka di Kampung Kok Kebit di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Muhammad Salam Mohd. Daud, 27, masih belum dijumpai selepas hilang lebih 12 jam lalu.
Rakan mangsa, Mohammad Noor Amirul Mohd. Zaid, 25, berkata, semasa dia dan mangsa memancing, mereka terkejut melihat kehadiran sebuah kereta memasuki kawasan tebing sungai itu.
Menurutnya, terkejut dengan deruman enjin kereta tersebut, Muhammad Salam terus berlari ke kawasan gelap sebelum berlanggar dengannya.
“Keadaan itu menyebabkan kami bersama-sama tergelincir ke dalam sungai. Saya lemas dan dibawa arus ke tengah sungai.
“Saya sudah tidak nampak Muhammad Salam ketika itu kerana keadaan gelap di tepi sungai itu yang terletak jauh dari lokasi rumah penduduk,” katanya.
Mohammad Noor Amirul memberitahu, dia yang hampir lemas sempat berenang dan sempat berpaut pada rumput sebelum naik ke tebing.
Menurutnya, dengan tenaga yang masih ada, dia terus menunggang motosikal meminta pertolongan orang kampung.
“Saya sudah tidak nampak Muhammad Salam yang sudah hanyut. Puas saya memanggilnya, tetapi tiada suara yang menyahut,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Pejabat Zon Kota Bharu, Ibrahim Safin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.20 pagi sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.
Menurutnya, operasi dihentikan ekoran keadaan gelap dan diteruskan semula pada pukul 8.15 pagi tadi dengan kekuatan lapan anggota dan Pasukan Penyelamat Di Air Pengkalan Kubor, enam anggota Balai Bomba Tumpat dan dua pegawai zon. – KOSMO! ONLINE