BATU PAHAT – Lelaki tempatan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut sebelum dihanyutkan susulan kelong roboh dibadai ombak ketika memancing awal pagi tadi ditemui mati lemas petang hari ini.
Mayat mangsa, Mohd. Faizal Mohd. Nor, 45, ditemui terapung pada kedudukan 0.8 batu nautika Barat Daya dari kelong di Parit Hailam, Senggarang di sini kira-kira pukul 3.50 petang.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, terdahulu pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa meneruskan pencarian kira-kira pukul 5 pagi.
“Polis menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2 pagi berhubung kejadian sebuah kelong di Parit Hailam, Senggarang di sini musnah dipukul ombak akibat angin kencang.
“Semasa kejadian terdapat lapan mangsa sedang memancing dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus.
“Susulan itu satu gerakkan SAR dilakukan dan menemui tujuh mangsa berusia 30 hingga 51 tahun termasuk tiga lelaki Indonesia dengan selamat selepas kesemua mangsa berpaut pada serpihan kayu,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahrulanuar berkata, mayat pekerja ladang di Renggam, Kluang itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk bedah siasat.
Katanya, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-KOSMO! ONLINE