PETALING JAYA – Seorang pengguna aplikasi Thread meluahkan rasa tidak puas hati terhadap segelintir wanita yang datang bulan, tetapi ‘melepak’ di dalam surau pusat beli-belah sehingga menyukarkan orang lain untuk menunaikan solat.
Katanya, perbuatan itu bukan sahaja menyebabkan surau penuh, malah menyusahkan pihak lain kerana ruang solat menjadi terlalu sempit.
“Perempuan yang period (haid) boleh ada ‘common sense’ tak? Bila tak boleh solat, surau kecil, tunggulah kawan kat luar. Penuh orang nak tunggu giliran maghrib berdiri nak solat.
“Kau duduk main telefon dalam surau kecil tu makan ruang. Tolonglah peka dengan situasi sikit boleh tak?
“Tadi ada ramai mak cik berdiri tunggu giliran, kasihan,” luahnya.
Hantaran tersebut mendapat pelbagai maklum balas, malah ramai pengguna Thread bersetuju dengan luahan wanita terbabit.
“Betul, ada yang duduk belakang rapat ke dinding, ada yang menyempit dekat cermin. Paling teruk saya pernah jumpa, duduk sebelah kawan yang tengah solat. Tolonglah kalau tak boleh solat (haid), tak payah masuk surau,” kongsi seorang pengguna.
“Dulu surau di KLCC ada mak cik jaga waktu puncak terutama maghrib dan halau siapa yang lepak. Kita nak bersiap depan cermin pun rasa nak cepat (beredar) sebab takut,” kata seorang lagi pengguna Thread.
“Selain itu, ada yang jenis lepas solat duduk atas sejadah sebab nak bersolek berjemaah (beramai-ramai) pula sempat bergosip. Dahlah surau tak cukup sejadah. Kalau surau berkarpet tiada masalah, ini jubin. Selalu jumpa geng macam ‘ni di pusat beli-belah,” luah seorang individu.
“Saya pernah jumpa perempuan makan mi segera di hujung (sudut) surau kecil, surau itu penuh dengan orang sedang bersolat. Ia berlaku di bulan Ramadan, memang tak ada ‘common sense’, orang pergi surau nak solat. Mereka berpuasa, kau boleh melantak mi segera kat surau,” ujar seorang lagi individu. – KOSMO! ONLINE