ALOR SETAR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah mengambil keterangan pendakwah terkenal berhubung penularan videonya berkaitan solat Jumaat seorang ulama bersama bunian hari ini.
Pengarahnya, Datuk Abd. Ghani Zainudin berkata, proses yang berlangsung pada pukul 10 pagi itu dihadiri pendakwah terbabit yang dikendalikan Timbalan Pengarahnya, Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim di JHEAIK, di sini.
“JHEAIK sudah mengambil keterangan dan pendakwah berkenaan mengakui mengucapkan perkara tersebut pada 11 November 2023 dalam satu majlis.
“Kertas siasatan ini sudah lengkap dan pihak JHEAIK akan menyerahkan kepada Jabatan Mufti Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, Jabatan Mufti Kedah juga akan memutuskan tindakan sewajarnya ke atas pendakwah terbabit kelak susulan kenyataannya itu.
“JHEAIK sekali lagi menasihatkan agar mana-mana pendakwah tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kegusaran awam khususnya umat Islam,” jelasnya.
Akhbar ini baru-baru ini menyiarkan JHEAIK menjalankan siasatan terhadap seorang pendakwah terkenal berhubung penularan videonya berkaitan solat Jumaat seorang ulama bersama bunian. – KOSMO! ONLINE