LONDON – Pasukan Manchester United mengalami kekalahan ke-16 dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas tewas 3-4 kepada Brentford di Stadium Komuniti Gtech sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, United yang dikendalikan oleh Ruben Amorim merehatkan sebahagian besar tonggak utama seperti Bruno Fernandes, Andre Onana dan Harry Maguire.
Situasi tersebut tidak menghalang The Red Devils untuk mendahului seawal minit ke-14 hasil penyudah Mason Mount selepas menerima hantaran daripada Alejandro Garnacho.
Tersentak dengan gol tersebut, The Bees memperkemaskan jentera serangan dan berjaya menyamakan kedudukan selepas rembatan Mikkel Damsgaard ditampan pertahanan United, Luke Shaw ke gawang sendiri pada minit ke-27.
Momentum tersebut diteruskan oleh pemain sayap, Kevin Schade untuk menjadikan kedudukan 2-1 sebelum wisel penamat apabila meledak jaringan berselang enam minit kemudian.
Bersambung pada babak kedua, skuad kendalian Thomas Frank terus garang apabila meraih dua gol dalam tempoh empat minit dengan Schade meledak jaringan kedua peribadi (m-70) sebelum Yoanne Wissa menambah derita United pada minit ke-74.
Namun, United enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal apabila Garnacho merapatkan kedudukan selepas menerima hantaran Christian Erikesn pada minit ke-82.
Pemain gantian, Amad Diallo menjadikan kedudukan 4-3 pada masa kecederaan tetapi sudah terlewat untuk membantu pasukan mencuri satu mata dengan keputusan kekal hingga wisel penamat.
Sementara itu, dua lagi aksi EPL sebentar tadi menyaksikan Newcastle United seri 1-1 bertemu Brighton dan Tottenham Hotspur turut diikat West Ham 1-1. – AGENSI