KUANTAN – Siapa sangka seorang kerani yang datang ke acara permotoran hanya membonceng skuter akhirnya pulangnya membawa sebuah Mitsubishi Triton Athlete baharu.
Itulah tuah luar biasa Siti Zaharah Rahman,35, dari Bera yang diumumkan sebagai pemenang hadiah cabutan bertuah sempena acara permotoran RXZ Fighter 2.0 yang berlangsung meriah di Teluk Cempedak di sini semalam.
Menurut ibu kepada dua anak lelaki itu, dia dan suaminya yang juga peminat dunia permotoran hanya menaiki skuter Yamaha X-Max ke lokasi acara meskipun mereka turut memiliki jentera legenda, Yamaha RXZ.
“Saya hanya beli dua helai kemeja-T bernilai RM85 sehelai dan secara automatik layak menyertai cabutan bertuah.
“Tidak sangka nombor 37161 jadi pembuka rezeki,”katanya ketika ditemui sejurus menerima kenderaan idaman tersebut.
Hadiah istimewa itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal dalam majlis penuh meriah.
Tambah Siti Zaharah, dia memang pernah berangan untuk memenangi hadiah utama itu dan sudah merancang untuk menjadikannya sumber pendapatan sampingan dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran barang.
Selain Triton, acara itu turut menawarkan empat buah Yamaha RXZ, barangan kemas serta wang tunai sebagai hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung bertuah.
RXZ Fighter 2.0 mencatat kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik lebih 70,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran, jauh mengatasi 50,000 pengunjung pada edisi terdahulu.
Malah, kali ini penganjur turut menerima penyertaan antarabangsa termasuk dari Thailand, Indonesia dan Singapura, menjadikan acara itu antara yang paling berprestij dalam kalendar permotoran tempatan.- KOSMO! ONLINE