fbpx

Danish Iftikhar rangkul emas berganda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DANISH (dua dari kiri) terus cemerlang pada saingan Super Series 2025 apabila merangkul pingat emas kedua selepas memenangi acara 200m hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

KUALA LUMPUR – Pelari pecut remaja, Danish Iftikhar Muhammad Roslee meneruskan aksi cemerlangnya apabila merangkul pingat emas keduanya pada Kejohanan Olahraga Super Series menerusi acara 200 meter (m) lelaki, sekali gus membuktikan bahawa kemenangan mengejutnya dalam acara 100m semalam bukan satu kebetulan.

Pelari berusia 18 tahun itu mencatat masa 21.81 saat (s) untuk jauh meninggalkan dua pencabar terdekat, Muhammad Rizal Mikhail (22.23s) dan Muhammad Airiel Iskandar (22.40s) dalam perlumbaan yang memperlihatkan dominasi Danish sejak awal hingga ke garisan penamat.

Lebih manis, ia merupakan catatan terbaik musim ini buat Danish dalam kedua-dua acara 100m dan 200m, sekali gus menyuntik keyakinan menjelang musim kompetitif yang lebih mencabar selepas ini.

“Alhamdulillah untuk pembukaan musim ini, saya sangat berpuas hati kerana berjaya meraih kedua-duanya (emas) dengan catatan terbaik musim ini.

“Namun, ini belum mencukupi bagi saya kerana masih banyak lagi sasaran dan kejohanan lebih besar yang menanti saya, insya-Allah.,” kata Danish ketika ditemui selepas tamat saingan.

Semalam, Danish mengejutkan barisan pelari pecut senior negara apabila memenangi acara 100m, iaitu acara paling berprestij dalam kejohanan itu sekali gus mencuri tumpuan sebagai wajah baharu yang wajar diberi perhatian oleh Olahraga Malaysia (MA).

Sementara itu, dalam acara 200m wanita, Nur Aishah Rofina Aling turut mencipta detik cemerlang apabila muncul juara dengan catatan masa 24.69s.

Aishah bukan sahaja meninggalkan pencabar terdekat Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (25.50s), malah berjaya memadam rekod peribadi terbaiknya sebelum ini 25.06s. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI