LONDON – Chelsea tidak keberatan untuk memberikan penghormatan guard of honor kepada Liverpool selaku juara Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Stamford Bridge malam ini.
Pengurus The Blues, Enzo Maresca berkata, pemain-pemain Liverpool wajar diberikan penghormatan ketika perbarisan masuk ke padang atas prestasi yang dipamerkan sepanjang saingan 2024/25.
Meskipun penghormatan itu hanya merupakan pilihan kepada setiap pasukan, namun Maresca mahu anak-anak buahnya menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk menampilkan aksi lebih baik musim depan.
“Saya rasa semua pemain tahu apakah perasaan untuk memenangi saingan Liga Perdana Inggeris. Sudah tentu ia satu perasaan yang tidak boleh digambarkan dan mereka (Liverpool) layak diberikan penghormatan itu.
“Saya juga yakin pemain-pemain Chelsea pastinya mahu menjadi seperti itu apabila mereka memberikan penghormatan kepada Liverpool nanti. Saya mahu ia menjadi sumber motivasi kepada mereka,” katanya.
Berbeza dengan Liverpool yang sudah pun meraih kejuaraan, Chelsea masih menggalas misi penting untuk menempatkan diri dalam kelompok lima teratas bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Juara Eropah dua kali itu wajib mencatat kemenangan ke atas Liverpool pada pertemuan malam ini memandangkan perebutan kelompok lima teratas sangat sengit dan melibatkan banyak pasukan. – AGENSI