fbpx

Apa nasib Datin Seri Pamela?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pamela dilaporkan hilang ketika berada di Lebuh Raya MEX berdekatan Bandar Putra Permai 9 April lalu.

PETALING JAYA – Seorang wanita bergelar Datin Seri masih belum ditemui dan diketahui nasibnya selepas dilaporkan diculik ketika dalam perjalanan untuk memberi kete­rangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ­Putrajaya pada 9 April lalu.

Misteri kehilangan Pamela Ling Yueh, 42, menyebabkan ahli keluarganya risau mengenai ke­selamatannya ekoran wanita itu langsung tidak dapat dihubungi atau membalas mesej melalui aplikasi telefon bimbit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai culik dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan seseorang dengan niat untuk mengurungnya secara salah.

Katanya, polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa di Balai Polis Presint 7 Putrajaya pada pukul 3.02 petang pada hari kehilangannya.

“Peguam mangsa turut membuat laporan di Balai Polis Seri Kembangan selepas usaha untuk menghubungi Pamela gagal.

“Sebelum kejadian, mangsa dijadualkan hadir ke pejabat SPRM Putrajaya untuk memberi kete­rangan berkaitan satu siasatan. Dia sudah beberapa kali hadir ke pejabat itu,” katanya.

Difahamkan, Pamela memberi keterangan berhubung satu kes pengubahan wang haram.

Sementara itu, memetik laporan daripada portal tempatan, Pamela telah menaiki kende­raan e-hailing dari kediamannya di Cheras sebelum dipintas tiga lelaki yang tidak dikenali.

Susulan itu, polis telah me­rakam percakapan beberapa individu termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa bagi membantu siasatan menyeluruh kes berkenaan.

Abangnya, Simon Ling Wan Siong, turut mengeluarkan ke­nyataan memohon bantuan orang ramai dan merayu pihak berkuasa mempercepatkan usaha mengesan adiknya itu.

Menurut Wan Siong, Pamela menghantar mesej terakhir kepada peguamnya pada pukul 1.57 petang, memaklumkan bahawa dia sedang dalam perjalanan ke pejabat SPRM dan dijangka tiba pukul 2.08 petang.

“Dia bertolak dari Jalan Cheras pukul 1.29 petang. Lokasi ter­akhir telefonnya dikesan berhampiran Lebuh Raya MEX berdekatan Pusat Bandar Putra Permai pukul 1.52 petang,” jelasnya.

Namun, selepas pukul 2 petang, Pamela tidak lagi dapat dihubungi serta mesej melalui WhatsApp tidak dibalas, manakala panggilan telefon langsung tidak dijawab.

Namun, siasatan dengan syarikat e-hailing mendapati perjalanan ditandakan sebagai selesai.

Polis kini giat menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan meminta kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu. Sehingga semalam, Pamela sudah hilang selama 25 hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI