PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong susulan kejayaan memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam kemenangan pada pilihan raya umum negara tersebut.
Anwar menerusi hantaran Facebook mengucapkan selamat maju jaya kepada Lawrence dan pasukannya dalam meneruskan tanggungjawab kepimpinan bagi penggal baharu.
“Kemakmuran dan keselamatan Malaysia dan Singapura tidak dapat dipisahkan, kerana kedua-dua negara bukan sahaja dihubungkan oleh geografi, tetapi hubungan erat kekeluargaan.
“Ketika kita melihat masa hadapan, kedua-dua negara sedang membina kerjasama mendapat di semua peringkat, satu asas penting dalam menghadapi cabaran besar terhadap sistem global dan perdagangan antarabangsa,” katanya hari ini.
Anwar berkata, kedua-dua negara berpeluang untuk menjadikan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura sebagai contoh cemerlang mengenai perkara yang boleh dicapai negara berjiran dengan iltizam dan matlamat bersama.
“Kami menantikan peluang dalam memperkukuh hubungan istimewa ini pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, PAP berjaya mengekalkan majoriti dua pertiganya dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025, apabila menang sebanyak 87 daripada 97 kerusi Parlimen.
Pembangkang utama, Parti Pekerja (WP) berhaluan kiri tengah gagal menawan lebih banyak kerusi, tetapi terus memegang 10 kerusinya di Parlimen.
PAP berhaluan tengah telah mentadbir Singapura secara berterusan sejak 1959, menjadikannya salah satu parti politik paling lama memerintah di dunia. – KOSMO! ONLINE