PETALING JAYA – Seorang pemuda berusia 21 tahun mendapatkan rawatan di sebuah klinik selepas dijangkiti penyakit kelamin dipercayai berpunca daripada hubungan seks rambang.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan petugas kesihatan apabila semakin ramai remaja dan belia dikenal pasti menghidap penyakit jangkitan seksual (STD) termasuk pelajar di bangku sekolah.
Doktor perubatan, Dr. Sakinah Sulong berkata, kes yang menimpa pelajar itu bukan terpencil, sebaliknya semakin biasa dilihat di klinik kesihatan awam dan swasta.
“Ada yang semuda belasan tahun. Mereka mungkin belum kena (jangkit) HIV, tetapi dah dapat penyakit kelamin lain (seperti) gonorrhea atau sifilis atau HPV atau Hepatitis B dan C,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Menurut Dr. Sakinah, situasi iu turut menimbulkan kebimbangan terhadap penolakan vaksin bagi segelintir ibu bapa khususnya HPV dan Hepatitis B yang sering diberikan tanggapan negatif kononnya menggalakkan seks bebas.
Namun, jelas beliau, vaksin merupakan langkah pencegahan penting terhadap penyakit serius seperti kanser pangkal rahim dan kanser hati.
“Kita bukan beri vaksin untuk menggalakkan seks bebas, tapi hendak cegah kuman ini membawa kanser satu masa nanti. Kuman HPV dikaitkan dengan kanser pangkal rahim. Kuman Hepatitis B & C dikaitkan dengan kerosakan hati dan seterusnya kanser hati,” ujarnya.
Dr. Sakinah turut mengingatkan golongan ibu bapa bahawa anak-anak yang kelihatan ‘baik’ atau ‘terjaga’ tidak semestinya bebas risiko.
“Bila ada ibu bapa yang menolak vaksin HPV dan Hepatitis B dengan alasan anak mereka tak akan terdedah dengan aktiviti seks pada usia muda, saya nasihatkan jangan terlalu yakin.
“Anak kita mungkin ‘bersih’, tapi pasangannya belum tentu. Mungkin dia pernah ‘nakal’ satu masa dulu dan boleh menjangkitkan kuman ini selepas berkahwin,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, vaksin HPV kini diberikan kepada pelajar sekolah menengah perempuan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan, manakala vaksin Hepatitis B diberikan seawal bayi.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Majlis AIDS Malaysia (MAC) melaporkan peningkatan kes HIV dalam kalangan remaja dan belia di bawah 30 tahun yang kini menjadi golongan paling berisiko tinggi jangkitan HIV di negara ini.
Setiausaha Kehormat MAC, Dr. Zaiton Yahya berkata, kebanyakan kes baharu adalah dalam kalangan remaja lepasan sekolah dan universiti. – KOSMO! ONLINE