SKUAD badminton kebangsaan terpaksa menerima hakikat kempunan untuk melangkah ke separuh akhir pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China selepas akur tersingkir di pusingan suku akhir.
Pada perlawanan di Gimnasium Fenghuang kelmarin, Malaysia gagal menandingi kehebatan pasukan tuan rumah apabila gagal mengutip sebarang mata untuk tewas 0-3.
Bagi ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, beliau menganggap kekalahan anak buahnya, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika bertemu Jepun di peringkat kumpulan pada Khamis lalu menjadi punca Malaysia gagal ke separuh akhir.
Malaysia akan mendapat undian lebih mudah di suku akhir sekiranya menewaskan Jepun kerana mara sebagai juara Kumpulan C dan dijadualkan bertemu naib juara kumpulan lain.
“Saya memang mengharapkan dapat berikan mata kepada pasukan tetapi sebelum ini (bertemu Jepun), Aaron-Wooi Yik kurang bernasib baik selain melakukan beberapa kesalahan walaupun cara bermain sudah betul.
“Untuk mereka berdua, khususnya Wooi Yik perlu ada peningkatan latihan di gimnasium supaya tenaga dan ‘power’ menjadi lebih baik. Jika mahu lebih baik, perlu buat (latihan) lebih lagi,” katanya.
Tambah jurulatih yang terkenal dengan julukan Naga Api itu, Wooi Yik perlu meningkatkan kekuatan dari segi pukulan kerana ia mampu membantunya untuk melakukan pukulan smash lebih kencang.
Ketika bertemu China, gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dijadualkan bertemu Liang Wei Keng-Wang Chang, namun tidak diturunkan apabila China memenangi perlawanan dengan keputusan 3-0.
Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah memenangi kejohanan berpasukan campuran itu dengan pencapaian terbaik mara ke separuh akhir sebanyak tiga kali pada edisi 2009, 2021 dan 2023.