KUANTAN – Lebih 70,000 pengunjung membanjiri acara permotoran RXZ Fighter 2.0 yang berlangsung selama dua hari di Teluk Cempedak sekali gus mencatatkan peningkatan luar biasa berbanding tahun lalu.
Program anjuran Kelab Permotoran RXZ Pahang itu bukan sahaja menarik minat peminat jentera dua roda dari seluruh negara, malah menonjolkan Kuantan sebagai lokasi strategik bagi acara berskala besar.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, penganjuran kali kedua tahun ini dilihat lebih meriah dan mendapat sambutan yang luar biasa.
“Saya ucapkan syabas kepada Kelab Permotoran RXZ Pahang atas kejayaan penganjuran RXZ Fighter 2.0 di Teluk Cempedak semalam (Jumaat) dan hari ini (Sabtu). Ini adalah kali kedua penganjurannya yang mana tahun lalu kita buat di Serambi Teruntum.
“Kerajaan Negeri Pahang memberi sokongan padu terhadap penganjuran program permotoran yang mendapat sambutan cukup luar biasa daripada peminat RXZ dan motosikal lain dari seluruh negara.
“Jika tahun lalu (penyertaan) cecah lebih 50,000, tahun ini saya difahamkan hampir 70,000 orang. Jumlah gerai yang mengambil bahagian dan syarikat yang menaja juga bertambah,” katanya yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada acara penutup di Teluk Cempedak Uptown di sini semalam. – KOSMO! ONLINE