BINTULU – Polis mengesan seramai 11 individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan sehingga menyebabkan peniaga sate maut di kaki lima sebuah pusat hiburan di sini hujung bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, kesemua mereka dipercayai sedang bersembunyi selepas kejadian pada awal pagi 27 April lalu.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dan komited mengesan suspek-suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lima daripada mereka berbangsa Bugis dikenali sebagai Firman Ladawi @ Man Bugis, Firdaus @ Daus, Ilham Serudin @ Apek, Acok dan Piee @ Piee Bugis.
Turut dikesan dua lelaki Melayu dikenali sebagai Alpian Asri dan Helmi Asri, dua lagi berbangsa Dayak iaitu Luas Dundang dan Rezza serta seorang masing-masing Melanau, Shahrol Khairul dan Cina, Paw Kek Loong @ Ahlong.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua lelaki terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohammad Hashim Kasman di talian 014-6817837 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu menerusi 086-318304.
Nixon berkata, setakat ini seramai sembilan suspek iaitu lapan lelaki dan seorang wanita berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an ditahan berhubung kejadian pergaduhan tersebut esok.
“Mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada Isnin lalu, Kosmo! Online melaporkan enam gengster ditangkap di Miri selepas membelasah penjual sate hingga mati di hadapan sebuah pusat hiburan. Video pergaduhan itu turut tular di media sosial yang memaparkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.
Kejadan itu turut menarik perhatian Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. Beliau memberi amaran kepada kumpulan gengster bahawa setiap individu adalah sama rata di sisi undang-undang dan mereka yang bersalah perlu menanggung akibatnya.- KOSMO! ONLINE