PETALING JAYA – Satu penampakan lembaga putih dipercayai puntianak dirakam di hadapan sebuah rumah di Kampung Melayu Batu 4, Paloh, Johor.
Rakaman video kejadian itu dimuat naik di platform Facebook menggunakan akaun @wantoncett.
Berdasarkan rakaman video tersebut, dapat dilihat makhluk berambut panjang dan berbaju putih sedang terbang dengan begitu laju dalam keadaan hujan lebat pada waktu malam.
Perakam video juga percaya bahawa penampakan lembaga itu merupakan puntianak.
“Akak puntianak yang sebenar dekat rumah mak di Kampung Batu 4, betul-betul hujan malam tadi dia tunjukkan diri,” kata pemilik akaun itu di kapsyen hantaran tersebut.
Tinjauan daripada ruangan komen mendapati ada juga penduduk yang pernah melihat kelibat puntianak di sekitar lokasi tersebut.
“Memang ada, Wan. Abah aku jumpa kat sekolah Bukit Paloh tu. Masa balik mancing,” kata Muhammad Azwan.
“Ini dah malam Jumaat aku ni baru nak balik daripada lepak, rumah aku nak jalan dalam tu sebelum sampai rumah kubur kiri kanan tau. Boleh pula video macam ini lalu masa begini. Aku pula pergi tekan tengok gatal tangan,” tulis Iman Ryzal.
“Lepas raya dia muncul, bulan puasa kan kena ikat. Agaknya dah lama tak main hujan tu Wan,” komen Adila Mohd Nasir. – KOSMO! ONLINE